Ulasan filem IMAGINUR - Antara Realiti Dan Rehal Minda

Blitzenius
0


Imaginur bermula bukan dengan letupan, bukan juga dengan drama besar-besaran, tetapi dengan satu kesenyapan yang pelik—seolah-olah penontonnya perlu menyusup masuk ke dalam mimpi seseorang yang belum tentu mahu dikongsi. Saya masuk panggung 19 minit lewat, dan dalam kes pelik ini, itu mungkin pengalaman yang paling tepat untuk filem seperti ini: terhumban ke tengah perbualan yang kita sendiri tak faham konteksnya, tapi terpaksa ikut juga, kerana sesuatu tentangnya buat kita tak mahu bangun dan keluar.

Zuhal lakonan Beto Kusyairy ialah seorang lelaki yang tak pasti sama ada dia sedang hidup atau mengingati hidup. Wataknya, seperti filem ini sendiri, tak cuba menjadi jelas. Dia terapung di antara memori dan masa kini, antara trauma dan cinta, dan kita sebagai penonton dipaksa meneka mana satu benar, mana satu rekaan. Masalahnya, yang muncul di layar ialah Beto, bukan Zuhal. Sama juga Diana Danielle. Bila wajahnya muncul, saya nampak Diana, bukan Nur. Dan bila itu berlaku, magis sinema mula luntur — ilusi filem tak sepenuhnya menjadi bila pelakon-pelakon besar masih terasa seperti selebriti, bukan watak.

Tapi bukan semuanya kaku. Afdlin Shauki sebagai Dr Ramli memberi satu tenaga yang jujur dan bersahaja — seolah-olah dia sendiri tahu dia berada dalam dunia aneh, tapi memilih untuk teruskan juga. Anas Ridzuan pula muncul tidak banyak, tapi cukup untuk buat saya rasa, “hah, itu watak.” Dia tidak memaksa kehadirannya, dia improvise dengan yakin dan selamba. Nadiya Nisaa juga cukup selesa dalam kulit wataknya.

Nik Amir Mustapha bukan pengarah yang selesa dengan penceritaan lurus. Dalam Imaginur, dia dan Redza Minhat mencipta dunia yang hampir seperti puisi visual — kabur, melankolik, dan memerlukan renungan semula. Tapi keberanian untuk melanggar struktur filem biasa bukan bermakna semuanya menjadi. Ada momen yang terlalu perlahan, ada simbolisme yang hampir menjengkelkan kerana terlalu diminta untuk “dirasa” bukan difahami. Sinematografi pula elok, cukup estetik untuk dipuji tapi belum cukup untuk menggugah — cantik tapi tidak menggoncang. Dan apabila sebuah filem menuntut pemikiran separuh falsafah, visual yang terlalu 'safe' kadangkala boleh menjadi lawan, bukan kawan.

Namun saya tidak menyesal menonton. Tiket RM10, dan saya rasa saya diberi lebih daripada nilai itu — bukan dalam bentuk hiburan, tetapi rasa ingin menilai semula hidup dan memori sendiri. Imaginur bukan filem yang memuaskan, tapi ia membuatkan saya mahu faham, mahu tonton semula dari mula, mahu cari petunjuk yang mungkin terlepas. Itu, bagi saya, kekuatan terbesarnya.


Sebagai sebuah eksperimen sinematik dari Malaysia, filem ini penting. Ia membuka ruang untuk filem-filem tempatan yang lebih berani, lebih pelik, dan lebih jujur dalam kekeliruannya. Imaginur tidak sempurna, malah kadang-kadang menjengkelkan. Tapi ia filem yang tahu ia tak sempurna — dan itu lebih baik daripada filem yang cuba sempurna tapi kosong.

Penilaian: 8.5/10

Catat Ulasan

0Ulasan

Catat Ulasan (0)