Rock dan Malaikat Maut – Fantasia Headbanging yang Menyerang Jiwa dan Itik Serati Sekaligus

Blitzenius
0

Dalam landskap sinema Malaysia yang kerap disuntik idealisme dan romansa, muncul Mamat Khalid dengan Rock — sebuah siri filem yang bukan sekadar perayaan kepada muzik era glam rock tanah air, tetapi juga satu dokumentasi tentang keghairahan, kejujuran, dan kebodohan suci sebuah generasi yang percaya bahawa bintang boleh dicapai kalau mereka jerit kuat-kuat dan sapu rambut dengan minyak secukupnya.


Namun dalam gemuruh perjuangan Rimba Bara, muncul satu anomali yang menyindir segalanya — Kumpulan Malaikat Maut. Mereka bukan antagonis tipikal, malah kelihatan seperti hasil perkawinan genre antara Ozzy Osbourne, Satanic Panic dan kompang majlis kahwin yang hilang tempo. Mereka bukan sekadar menjentik emosi — mereka menggigit, mengoyak, dan... mengokak itik serati hidup-hidup atas pentas.

Dia ingat dia Ozzy Osbon ke apa?!!

Ayat ini bukan sahaja menjadi punchline filem, tetapi kapsul kepada seluruh roh filem Rock itu sendiri — bagaimana sebuah generasi muda cuba memahami kebebasan artistik, tetapi sering terjebak dalam parodi terhadap idola luar negara. Dalam tangan Mamat Khalid, adegan seperti ini bukan lawak kosong — ia adalah karikatur budaya, sindiran terhadap imitasi membuta tuli yang sering berlaku dalam proses "menjadi band rock".

Zul Kapan, dengan wajah berlapis ego dan suara berbaur jampi sumpah, bukan sahaja meninggalkan Rimba Bara, tetapi membawa bersamanya semangat ‘sell-out’ yang menjadi ancaman sebenar kepada idealisme Zack, Jijo dan rakan-rakan. Bila Malaikat Maut diterima oleh Luncai Emas, ia bagaikan satu penghinaan: label rekod lebih suka gaya ekstrem daripada jiwa tulen.

Dan di situlah filem ini menjerat kita — dalam kelucuan, dalam keriuhan, dalam parodi... ada satu rasa kehilangan. Seolah-olah kita semua sedang memikul batu yang sama dengan Zack dan Jijo. Berat mata memandang, berat lagi batu yang memikuli.

Mamat Khalid, seperti Pauline Kael yang pernah memeluk filem-filem aneh dan luar dari sistem studio, menyampaikan Rock sebagai satu elegi buat pemuzik-pemuzik pinggiran yang hanya ada satu dosa: terlalu percaya. Terlalu percaya bahawa dunia akan menerima suara mereka, walau pun ia penuh dengan falsetto sumbang dan solo gitar lari tempo.

Dan Malaikat Maut — dengan itik seratinya yang malang — adalah simbol kekeliruan paling agung dalam dunia muzik dan seni kita: antara seni dan gimik, antara ilham dan ilusi, antara rock dan ridicules.

Kalau anda masih ingat dialog ini, ya... anda memang legend. Dan mungkin, sedikit tercedera jiwa akibat trauma pentas Battle of the Bands itu.

Rock on.

Catat Ulasan

0Ulasan

Catat Ulasan (0)