Misteri Fraser 1910: Apabila Kabus Sejarah Menjadi Asap Kontroversi

Blitzenius
0

Misteri Fraser 1910, sebuah filem thriller seram yang diinspirasikan daripada kehilangan sebenar Louis James Fraser lebih satu abad lalu, bakal menemui penonton bermula 26 Jun 2025 di pawagam seluruh negara. Berlatar di tanah tinggi Bukit Fraser yang diselubungi kabus dan sejarah terpendam, filem ini membawa penonton menyusuri semula detik-detik misteri kehilangan seorang pengembara Inggeris yang membuka laluan bijih timah sebelum lenyap tanpa jejak pada tahun 1910.

Filem ini diarahkan oleh Shuhaimi Zulkefli, nama yang bukan asing dalam dunia pengarahan televisyen sejak 2008, dan Misteri Fraser 1910 menandakan langkah sulung beliau ke layar perak. Berbekalkan pengalaman lebih satu dekad dalam dunia dokumentari dan drama, Shuhaimi membawa pendekatan sinematik yang lebih senyap, psikologikal dan berlapis, seperti yang tergambar dalam penggunaan kabus semula jadi, atmosfera sunyi dan lanskap hutan yang menjadi sebahagian daripada watak filem itu sendiri. Penggambaran dijalankan di sekitar Bukit Fraser dan Ulu Yam, dan walaupun tiada press kit rasmi disediakan oleh pengedar filem, produksi ini mula mencuri perhatian dalam dan luar negara, termasuk meraih anugerah di UK.

Namun di sebalik kemunculan filem ini di layar utama, satu drama lain sedang berputar di balik tabir - satu kisah benar yang lebih pahit dari mana-mana fiksyen. Nama pengarahnya, Shuhaimi Zulkefli, tidak kelihatan di mana-mana bahan promosi rasmi. Tiada dalam poster, tiada dalam trailer, dan lebih janggal lagi, beliau tidak dijemput ke sidang media mahupun tayangan perdana. 

Perkara ini menimbulkan reaksi daripada penggiat industri sendiri. FDAM dan SENIMAN mengeluarkan kenyataan menuntut penjelasan. Berita Harian, Harian Metro dan Utusan pula melaporkan tentang "hubungan yang tegang" dan "pengarah yang digugurkan". Pelakon utama filem ini, Josiah Hogan, dalam kenyataannya memuji Shuhaimi secara terbuka - satu isyarat bahawa ada penghormatan senyap yang masih kekal terhadap sumbangan asal sutradara ini. Sementara itu, penerbit meneruskan promosi secara agresif, termasuk menghantar filem ini ke lebih 30 festival filem luar negara.


Misteri Fraser 1910 bukan sekadar menjelajah misteri kehilangan Louis Fraser. Ia secara tidak langsung mengangkat perdebatan yang lebih besar dalam industri kreatif: tentang pengiktirafan, tentang hak moral, dan tentang siapa yang patut berdiri di hadapan apabila sebuah karya mula mendapat perhatian. Di tengah sorotan lampu tayangan dan anugerah antarabangsa yang mula mengisi ruang berita, kabus yang menyelubungi belakang tabir produksi ini tetap tebal - dan buat sesetengah orang, lebih menakutkan daripada sebarang entiti ghaib bernama Isyani.

Akhirnya, filem ini bertanya satu soalan kepada penonton: adakah setiap kehilangan perlu ditemui semula? Atau ada kehilangan yang lebih baik dibiarkan lenyap dalam kabus - bersama kebenaran yang tidak semua sanggup hadapi?

Nota kaki: Movie Addict Malaysia juga tidak menerima jemputan ke tayangan perdana dan sidang media dari pihak pengedar dan penerbit.

Catat Ulasan

0Ulasan

Catat Ulasan (0)