Ulasan filem HOW TO TRAIN YOUR DRAGON - Kenapa Nak Melatih Semula Naga Yang Dah Cukup Jinak?

Blitzenius
0


How To Train Your Dragon bukan filem teruk, tapi wujudnya dia di dunia ini pun sudah jadi satu tanda tanya. Ia seperti seorang budak yang cuba tiru abang sulungnya yang genius, tapi hanya berjaya bawa balik sijil penyertaan. Adaptasi aksi nyata How to Train Your Dragon ini mengikuti hampir 90% jalan cerita animasi 2010, tetapi dengan roh yang sudah disedut keluar dan hanya tinggal kulit yang cantik tapi tidak bernyawa.

Pelakon-pelakonnya, meskipun berbakat, dipaksa melakonkan watak yang terlalu muda untuk wajah dan tubuh mereka. Mason Thames dan Nico Parker—dua nama besar untuk generasi TikTok—tidak berjaya menyakinkan bahawa mereka adalah remaja Viking berumur 18 tahun. Ditambah pula dengan tubuh yang langsung tidak mencerminkan keturunan bangsa yang digambarkan dalam mitologi Norse sebagai gagah perkasa. Penonton diminta percaya bahawa ini ialah keturunan Stoick the Vast, tetapi susuk tubuh yang ditayangkan lebih mirip kepada pelatih yoga dari L.A.

Visual CGI pula menghasilkan Toothless yang comel dan bersinar, tetapi bila dipadankan dengan manusia sebenar, terus nampak seperti dua alam yang tidak saling mengenal. Bukan soal bajet, sebab filem Avatar sudah buktikan sejak 2009 lagi bahawa teknologi boleh menyatu makhluk ciptaan dengan dunia nyata. Kalau teknologi sudah tersedia, kenapa hasilnya masih terasa seperti cutscene dari permainan PS4?

Runut bunyi? John Powell masih komposer, tapi entah kenapa muziknya seperti dikecilkan volume secara paksa. Dalam animasi, muzik jadi denyut emosi utama—membentuk hubungan Hiccup dan Toothless, memberi latar pada detik-detik sunyi yang bermakna. Dalam versi ini, semua itu ditenggelamkan. Kalau pun masalahnya pada sistem bunyi panggung, itu tetap memberi kesan kepada pengalaman penonton. Macam dengar orkestra dimainkan dalam tong besi.

Dialog pun satu hal. Bagi yang hafal skrip animasi asal, kehilangan beberapa baris penting bukan sekadar keciciran teks—ia hilangnya jiwa. Jeritan penduduk Berk apabila melihat Toothless bukan sekadar latar bunyi, ia tanda ketakutan kolektif, naratif sosial dalam komuniti Viking. Semua itu dibuang, digantikan dengan versi yang lebih kemas, lebih ringkas, tapi lebih membosankan.


How To Train Your Dragon tidak buruk hingga perlu dicerca, tapi tidak cukup baik untuk diberi tepukan. Ia sekadar wujud, sebagai satu lagi percubaan Hollywood menyuapkan semula karya lama dalam pinggan porselin baharu, dengan hiasan pelakon pelbagai kaum supaya boleh dieksport ke pasaran Timur. Dan ya, tiada siapa minta filem ini dihasilkan. Tetapi produser tetap mahu memerah susu nostalgia hingga titisan terakhir.

Penilaian:  7/10

Pengedar: United International Pictures Malaysia

Catat Ulasan

0Ulasan

Catat Ulasan (0)