Dalam satu temu bual yang dikongsikan oleh majalah People, bintang aksi terkenal Jackie Chan mendedahkan bahawa beliau sebenarnya tidak menyukai filem Rush Hour meskipun kejayaannya mencetuskan fenomena antarabangsa.
“Selesai sahaja penggambaran filem itu, saya tetap tidak menyukainya. Saya langsung tidak faham. Banyak perkara yang berbeza- budayanya amat asing bagi saya,” ujar Jackie Chan dengan jujur. “Orang ramai ketawa bila watak Chris Tucker berkata, ‘You never touch a black man's radio,’ tapi saya cuma... kenapa kelakar? Saya tidak faham. Budayanya memang berbeza sama sekali.”
Jackie mengakui dirinya kecewa dengan pengalaman tersebut dan mengambil keputusan untuk kembali ke Asia bagi meneruskan pembikinan filem mengikut acuan sendiri. Namun, tidak lama kemudian beliau menerima panggilan mengejutkan.
“Saya dapat panggilan telefon: ‘Jackie, kita pecahkan rekod kutipan - 70 juta dalam masa tiga hari. Jom buat Rush Hour 2.’ Maka lahirlah sambungannya, dan kemudian Rush Hour 3, Shanghai Noon, Shanghai Knights... pelbagai projek mula datang. Saya akhirnya tinggal di Amerika selama dua tahun.”
Jackie kini sedang mempromosikan filem terbaru lakonannya, Karate Kid: Legends edaran Sony Pictures.
