Pelakon terkenal Hollywood, Dakota Johnson, tampil memberi kenyataan tegas berkenaan kegagalan filem Madame Web yang diterajui olehnya, dengan menegaskan bahawa kegagalan tersebut bukan berpunca daripadanya. Dalam temu bual bersama Los Angeles Times sempena promosi filem terbarunya Materialists, Johnson meluahkan kekecewaannya terhadap proses kreatif di Hollywood yang menurutnya didominasi oleh pihak yang "tidak mempunyai sebarang naluri seni".
Filem Madame Web, yang diterbitkan oleh Sony dan ditayangkan pada awal 2024, menerima kecaman hebat daripada pengkritik dan penonton. Ia hanya berjaya mengutip sekitar $43 juta di pasaran domestik dan memperoleh markah suram 11% di Rotten Tomatoes. Johnson membawa watak Cassandra Webb, seorang paramedik yang mendapat kuasa meramal masa depan selepas satu pengalaman hampir maut.
"Itu bukan salah saya," ujar Johnson ringkas namun jelas. "Banyak keputusan kreatif kini dibuat secara berkumpulan atau oleh individu yang langsung tiada tulang seni dalam badan mereka. Sukar untuk hasilkan seni atau sesuatu yang menghiburkan dalam keadaan begini. Madame Web bermula dengan satu hala tuju, namun berubah menjadi sesuatu yang lain. Saya hanyalah penumpang dalam proses itu."
Walau bagaimanapun, Johnson mengakui dia tidak trauma dengan kegagalan tersebut. “Saya tidak rasa perlu untuk 'menampal luka'. Saya tidak pernah meletakkan syarat seperti ‘Saya tidak akan buat lagi perkara seperti itu’. Saya pernah terlibat dalam filem kecil yang juga gagal. Siapa peduli?”
Dalam satu wawancara terdahulu bersama Bustle selepas Madame Web ditayangkan, Johnson menegaskan bahawa seni filem sepatutnya berasaskan visi pengarah dan pasukan kreatif, bukan nombor dan algoritma.
"Penonton sangat bijak. Tetapi para eksekutif studio mula beranggapan sebaliknya. Penonton sentiasa boleh menghidu kepalsuan."
Kini, tumpuan Johnson beralih kepada filem terbarunya, Materialists, terbitan A24 dan diarahkan oleh Celine Song, pengarah yang sebelum ini dicalonkan Oscar melalui Past Lives. Filem ini mempertemukannya dengan Pedro Pascal dan Chris Evans dalam sebuah karya yang menelusuri genre komedi romantik dengan pendekatan baharu.
Menurut Johnson, Materialists berbeza kerana naskhahnya penuh dengan emosi dan kejujuran. “Selama ini saya banyak menerima skrip rom-kom yang hambar. Tiada jiwa, tiada hati. Tetapi Celine Song penuh dengan kedua-duanya. Saya tertarik dengan kompleksiti watak-wataknya, dengan kekeliruan dan dilema yang realistik dan menyentuh.”
Filem Materialists bakal ditayangkan di pawagam mulai 10 Jun 2025. Untuk wawancara penuh bersama Dakota Johnson, kunjungi laman web Los Angeles Times.
