Filem seram pasca-apokalips 28 Years Later, arahan Danny Boyle dengan skrip oleh Alex Garland, bakal hadir di pawagam mulai 19 Jun ini. Karya yang dinanti-nantikan ini merupakan kesinambungan kepada dua filem terdahulu — 28 Days Later (2002) dan 28 Weeks Later (2007) — serta menjadi permulaan kepada trilogi baharu yang dijangka menghidupkan semula dunia ngeri pasca-wabak.
Mengangkat latar hampir tiga dekad selepas satu virus yang melumpuhkan Britain, 28 Years Later menampilkan barisan pelakon hebat seperti Ralph Fiennes, Jodie Comer, Aaron Taylor-Johnson, Jack O’Connell dan Erin Kellyman. Dalam dunia yang kekal terkurung di bawah kuarantin ketat, sekumpulan kecil manusia cuba meneruskan hidup di sebuah pulau terpencil yang hanya dihubungkan ke tanah besar melalui tambak berkubu.
Namun apabila salah seorang daripada mereka nekad menyeberangi tambak demi sebuah misi berbahaya ke wilayah yang telah lama ditinggalkan, dia menemui rahsia dan kengerian baru — bukan sahaja makhluk dijangkiti yang semakin bermutasi, malah sisi gelap manusia yang turut berubah dalam dunia tanpa harapan.
Lebih menarik, filem ini menyaksikan penyatuan semula trio asal — Boyle, Garland dan jurukamera Anthony Dod Mantle — serta penglibatan Cillian Murphy sebagai penerbit eksekutif.
28 Years Later akan ditayangkan di pawagam 19 Jun 2025 edaran Sony Pictures.
